ARKIB : 12/08/2009

Kerajaan diminta bina segera lorongpejalan kaki di CIQ Tanjung Puteri


SHAHRIR Abdul Samad (dua dari kiri) bersama Datuk Bandar Johor Bahru, Mohd. Jaafar Awang (kiri) dan Pengarah Urusan Gerbang Perdana Sdn. Bhd, Datuk Yahya A. Jalil (tiga dari kiri) ketika melawat Tambak Johor di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 11 Ogos - Kerajaan diminta mempercepatkan pembinaan lorong pejalan kaki di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang lama di Tanjung Puteri di sini.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, biarpun ia sudah beberapa kali dibangkitkan, pembinaannya masih lagi belum menampakkan sebarang keputusan.

Malah, menurutnya lagi, bangunan CIQ yang lama juga sudah dirobohkan.

''Pembinaan lorong pejalan kaki itu adalah bagi memudahkan pengguna apabila tiba waktu puncak. Ini kerana pejalan kaki perlu menunggu lama untuk menyeberangi dari CIQ Bangunan Sultan Iskandar ke bandar raya.

''Ia juga boleh menghidupkan kawasan bandar raya Johor Bahru terutama di Jalan Wong Ah Fook yang sudah menerima tempias akibat pembinaan CIQ baru,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di JB Sentral, CIQ lama dan CIQ Bangunan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Mac lalu, Menteri Dalam Negeri yang ketika itu Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, kerajaan sentiasa prihatin dan bersimpati terhadap kesusahan pejalan kaki termasuk golongan pekerja yang tidak mampu berjalan sejauh satu kilometer dari tambak ke Bangunan CIQ baru di Bukit Chagar.

Katanya, keputusan itu dimuktamadkan pada mesyuarat Kabinet dan Jabatan Imigresen telah diarah untuk mengkaji dan seterusnya mengemukakan pelan bagi mengatasi masalah itu secepat mungkin.

Dalam perkembangan yang sama, Shahrir juga meminta agar kemudahan infrastruktur di Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan CIQ perlu dikaji semula bagi mencapai matlamatnya.

Tambahnya, kemudahan yang perlu diambil kira adalah tempat meletak kenderaan yang dilihat tidak fleksibel dan mesra pengguna.

Kata Shahrir, kemudahan tempat meletak kenderaan hanya disediakan di pintu masuk bahagian barat sahaja.

''Hakikatnya, tidak semua pengguna CIQ masuk melalui pintu barat. Ada juga yang masuk di pintu timur. Apabila terjadi keadaan seperti ini, pengguna perlu pusing bangunan untuk ke kawasan tersebut," katanya lagi.