
![]() |
SULTAN Iskandar Sultan Ismail menaiki buggy bersama Abdullah Ahmad Badawi (belakang) dan Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar (membelakang) di Johor Bahru, semalam.
- Gambar ISHAK RAHMAD |
JOHOR BAHRU 1 Dis. - Bangunan Sultan Iskandar di Bukit Chagar yang dirasmikan Sultan Johor, Sultan Iskandar Sultan Ismail hari ini menjadi simbolik era moden dalam pengurusan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di pintu masuk negara bagi selatan tanah air.
Bangunan yang serba canggih itu akan memainkan peranan penting dalam melicinkan rangkaian pengangkutan antara Johor dan Singapura di samping menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi di selatan tanah air.
Sultan Iskandar bertitah, kemudahan bangunan tersebut sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya dalam menggalakkan lagi pembangunan dan kemakmuran di negeri Johor yang bersempadan dengan Singapura.
"Hari ini adalah hari bersejarah bagi negeri Johor kerana mendapat satu bangunan yang menjadi gerbang utama bagi negeri Johor dengan negara sebelah selatan.
"Beta berharap dengan adanya bangunan ini rakyat akan lebih selesa dan sejahtera serta lebih makmur dan maju," titah baginda semasa merasmikan Bangunan Sultan Iskandar di sini.
Turut berangkat ialah Sultanah Johor, Sultanah Zanariah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dan isteri, Raja Zarith Sofea.
Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Pembinaan bangunan pintar yang bernilai RM1.26 bilion itu dimulakan pada tahun 2001 dan dijadualkan siap pada 2006, namun disebabkan pembatalan pembinaan projek Jambatan Bengkok di Tambak Johor, laluan baru telah dibina bagi menghubungkan tambak dengan bangunan berkenaan.