Berita Harian Online

'Tiada kata putus sambung kerja jambatan bengkok'

20 Apr 2009

SINGAPURA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan sama ada untuk meneruskan semula pembinaan jambatan bengkok yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.


“Sehingga kini, kita belum lagi membuat sebarang keputusan (sama ada untuk menyambung semula pembinaannya atau tidak,” kata Timbalan Perdana Menteri selepas menyampaikan ucaptama dan menutup Forum Asean dan Asia Kedua, ‘Risiko dan Peluang’ di Meritus Mandarin Hotel di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada pembinaan jambatan itu yang dibatalkan pada 2006 akan dilaksanakan semula.


Beberapa pihak di Johor, baru-baru ini, dilaporkan mahu supaya Malaysia meneruskan kembali pembinaan jambatan berkenaan.


Sementara itu, di KUALA LUMPUR, Muhyiddin berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan permintaan segenap lapisan masyarakat, yang pasti dapat memperkukuh lagi ikatan perpaduan selaras konsep Satu Malaysia.


Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan mahu memastikan tiada rakyat negara ini yang dipinggirkan daripada agenda pembangunan nasional.


“Perpecahan sejak kebelakangan ini berlaku kerana kita tidak memberi perhatian sewajarnya kepada semua kumpulan masyarakat sehingga ada yang marah kepada kerajaan.


“Satu Malaysia menjadi sandaran kita memasuki era pembangunan baru dalam usaha mencari kecemerlangan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam amal Vaisakhi 2009 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Punjabi Malaysia (MPCCI) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.