Johor: Urusan dokumentasi Bangunan Sultan IskandarOleh Mohd Zin Alimdzin@nstp.com.my Perubahan laluan berikutan penutupan kaunter di Tambak
Johor JOHOR BAHRU: Semua pengguna jalan raya kecuali lori perlu menggunakan Bangunan Sultan Iskandar, di sini untuk keluar ke Singapura dari bandar raya ini atau sebaliknya, berikutan penutupan operasi di Tambak Johor bermula esok. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata bermula jam 12.01 tengah malam esok, semua kenderaan iaitu kereta, bas, motosikal dan van perlu melalui bangunan terbabit untuk melakukan semua urusan dokumentasi. Beliau berkata, bermula jam 11.45 malam ini, semua laluan ke kaunter imigresen di Tambak Johor akan ditutup dengan kenderaan yang melalui Jalan Tun Abdul Razak untuk ke Singapura, akan diarahkan menggunakan Jalan Saw Mill di belakang Balai Polis Sentral sebelum ke Pantai Lido atau Jalan Wong Ah Fook untuk ke Jalan Lingkaran Dalam. "Apabila tiba di Jalan Lingkaran Dalam, pengguna boleh terus memasuki Bangunan Sultan Iskandar, di mana segala urusan dokumentasi akan dilakukan untuk ke Singapura," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam. Zainuddin berkata, semua lori termasuk lori kosong pula hanya boleh menggunakan laluan Tanjung Puteri untuk keluar ke republik berkenaan dan masuk kembali ke Malaysia dengan naik dari Tambak Johor ke Tanjung Puteri. Sementara itu, Ketua Trafik Johor, Superintendan T Raveendran, berkata orang ramai diminta memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan polis trafik yang bertugas bagi melicinkan perjalanan dari pusat bandar raya ke bangunan berkenaan. "Berikutan itu, saya menasihatkan orang ramai supaya jangan menggunakan jalan Tun Abdul Razak untuk ke Singapura selepas jam 11.45 malam, Isnin ini (esok). "Selain terdapat anggota polis trafik yang ditempatkan bagi membantu pengguna, kami juga akan memasang papan arah bagi membantu orang ramai ke Bangunan Sultan Iskandar," katanya. Raveendran berkata, terdapat tiga laluan utama ke Bangunan Sultan Iskandar iaitu pertama menggunakan Jalan Lingkaran Dalam-Susur Jalan Stulang Darat-lampu isyarat ke Bangunan Sultan Iskandar-pintu masuk ke Bangunan Sultan Iskandar. Cara kedua, menggunakan Jalan Pasir Pelangi-Jalan Stulang Darat-Susur ke Jalan Lingkaran Dalam-pusingan U di Jalan Lingkaran Dalam atau pusingan U di lampu isyarat ke Tanjung Puteri dan masuk ke susur Jalan Lingkaran Dalam di depan restoran ABDA lama-pintu masuk ke bangunan berkenaan. Cara ketiga ialah menggunakan Jalan Stulang Laut-lampu isyarat Jalan Ibrahim Sultan-masuk ke susur Jalan Lingkaran Dalam di hadapan restoran ABDA lama-pintu masuk bangunan berkenaan. |