Berita Harian Online

KIK penggerak pembangunan

2008/12/02
 

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yakin Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) baru di sini, yang kini dikenali sebagai Bangunan Sultan Iskandar akan menjadi penggerak utama pembangunan ekonomi negara, selain mercu tanda utama bahagian selatan negara ini.

Berucap pada majlis perasmian bangunan berkenaan yang disempurnakan Sultan Johor, Sultan Iskandar, semalam, Abdullah mengharapkan bangunan itu dapat beroperasi dengan lancar terutama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pintu masuk utama dan mahu semua pegawai serta kakitangan agensi kerajaan terbabit menjaga bangunan itu dengan cekap dan penuh integriti.

Beliau berkata, Bangunan Sultan Iskandar bukan sekadar usaha untuk memantapkan pembangunan tetapi ia simbol penting yang melambangkan kemajuan serta potensi di wilayah selatan serta Iskandar Malaysia.

Sultan Iskandar menandatangani plak perasmian Bangunan Sultan Iskandar sambil diperhatikan Abdullah, Tunku Ibrahim dan Abdul Ghani di Johor Bahru, semalam.
 

"Bangunan Sultan Iskandar adalah pintu masuk moden, cekap dan indah, yang akan memberikan gambaran kepada setiap pengunjung serta pelabur luar bukan saja mengenai kemodenan, kecekapan serta keindahan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia di Johor tetapi juga seluruh negara," katanya.

Hadir sama Sultanah Johor, Sultanah Zanariah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dan isteri, Raja Zarith Sofiah; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Bangunan berkenaan yang menempatkan pejabat Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Pejabat Tanah dan Galian, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pertanian dijangka beroperasi sepenuhnya, 16 Disember ini.