Berita Harian – 06 Mac 2008

Pembangunan Johor rancak

Oleh Mohd Zin Ali dan Azida Shaharuddin

PERCEPAT PERJALANAN: Persimpangan bertingkat Jalan Tebrau yang memberi kemudahan perjalanan penduduk berulang alik ke tempat kerja setiap hari.

Wilayah Pembangunan Iskandar, Gerbang Selatan Bersepadu untuk rakyat

SEJAK empat tahun lalu, pembangunan di Johor begitu pesat berlangsung berikutan turut didorong oleh wujudnya Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Selatan Johor yang dilancarkan Sultan Johor pada November 2006.

Antara projek pembangunan yang cukup ketara ialah pembinaan Gerbang Selatan Bersepadu (GSB) menggantikan Tambak Johor bagi menyediakan kemudahan Kompleks Kastam dan Imigresen (KIK).

Projek bermula pada 2003 dan meliputi kawasan seluas 107.4 hektar dengan separuh daripada keluasan itu diguna untuk membina Kompleks KIK, manakala bakinya bagi pembinaan kemudahan sokongan.

Selain bangunan KIK, kompleks GSB yang hampir siap di tengah pusat bandar itu menggabungkan laluan Stesen Keretapi Johor Bahru, turut mempunyai bangunan JB Sentral yang menyediakan perkhidmatan kemudahan kereta api, pejabat jualan tiket, tempat letak kereta, kantin dan sebagainya.

Manfaat daripada projek GSB ini ialah dari segi kelancaran laluan trafik di sekitar pusat bandar Johor Bahru, meningkatkan sistem rangkaian jalan raya menghubungkan Kompleks KIK ke Lebuhraya Utara Selatan dan jalan di pusat bandar.

Selain itu, kerajaan negeri juga memindahkan pusat pentadbiran di Johor Bahru ke Pusat Pentadbiran Baru Kerajaan Negeri Johor (JSNAC) di Nusajaya yang terletak di tengah-tengah WPI.

Langkah memindahkan pusat pentadbiran baru kerajaan negeri ke Nusajaya boleh disamakan dengan keputusan Kerajaan Pusat memindahkan pusat pentadbiran dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Selain itu, pelbagai projek pembangunan sudah dilaksanakan untuk meningkatkan kemudahan rakyat di negeri ini seperti menaik taraf Persimpangan Bertingkat Perling, menaik taraf Persimpangan Skudai, menaik taraf Persimpangan Bertingkat Jalan Tebrau/Jalan Lingkaran Dalam dan membina Persimpangan Bertingkat Senai.

Kerajaan Johor juga menaik taraf Jalan Ulu Tiram-Kota Tinggi, menaik taraf Jalan Batu Pahat-Air Hitam-Kluang fasa II, menaik taraf Jalan Tampoi kepada empat lorong, menaik taraf Jalan Mardi ke Padang Tembak.

Pembangunan lain ialah menaik taraf Jalan Tumang, Segamat; menaik taraf Jalan Parit Kassim, Pontian; menaik taraf Jalan Kampung Sungai Telor dan Jalan Tai Hong ke Jalan Kulai, Kota Tinggi; membina lorong memotong di Jalan Muar-Tangkak, menggantikan tiga jambatan di Jalan Muar-Pagoh Laluan J32 serta pembinaan jalan masuk ke JSNAC di Nusajaya dari Linkedua.

Bagi meningkatkan keindahan dan kemudahan di pusat bandar raya Johor Bahru pula, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyediakan pelbagai peruntukan seperti menaik taraf Jalan Ayer Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Kolam Ayer, Jalan Ibrahim Sultan dan Jalan Wong Ah Fook.

Selain itu, MBJB akan memperindahkan Jalan Trus ke Jalan Tan Hiok Nee dengan pembinaan pejalan kaki yang selesa serta lengkap dengan landskap dan lampu hiasan.

Bagi meningkatkan keselamatan bandar di bawah program bandar raya selamat, MBJB memperuntukkan sebanyak RM0.7 juta bagi pemasangan 12 sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat bandar dan kawasan perniagaan serta tumpuan orang ramai.

Selain itu, kerajaan negeri komited membasmi kemiskinan tegar dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) apabila meneruskan beberapa program sedia ada dan merangka program baru seperti Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang memberi pengkhususan kepada miskin tegar di luar bandar.

Program lain ialah Program Bantuan Rumah (PBR), pemberian dividen bulanan kepada kira-kira 1,000 rakyat termiskin serta Program Khas Rakyat Termiskin yang memberi fokus kepada program peningkatan pendapatan isi rumah.

Sebenarnya, ada banyak lagi projek pembangunan di negeri ini yang seperti pembinaan pusat petrokimia di Tanjung Bin, Pontian; Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah serta Projek Pertanian Moden di Kluang yang menunjukkan kemajuan di negeri ini adalah serata sama ada di bandar dan luar bandar.

Pengurus Bahagian Makanan dan Minuman Hotel New York, Mohd Mustaffa Daros, 54, berkata beliau banyak menggunakan jalan Persimpangan Skudai yang siap baru-baru ini untuk ke tempat kerja dari rumahnya di Taman Universiti.

Katanya, walaupun baru menetap di taman itu sejak tiga tahun lalu, beliau menyaksikan perubahan ketara apabila pembinaan persimpangan itu banyak melonggarkan tekanan yang terpaksa dihadapi rakyat apabila terpaksa melalui jalan itu.

"Adanya persimpangan Skudai ini, ia bukan saja memudahkan pengguna seperti saya tetapi ia memberikan imej keadaan jalan di Johor sudah maju," katanya.

Ahli Perniagaan, T Rukumani, 43, berkata beliau menetap di Bukit Indah bermula sekitar 90-an dan tidak ketinggalan menyaksikan pelbagai pembangunan di negeri ini sejak itu.

Beliau berkata, perubahan paling ketara ialah kerja pembinaan dan menaik taraf jalan yang dijalankan di negeri ini sejajar pembangunan ekonomi negeri yang mempamerkan peningkatan.

"Contohnya Persimpangan Bertingkat Perling yang hampir siap ini banyak mengurangkan masa perjalanan penggunanya termasuk saya yang kini mengambil tempoh setengah jam untuk tiba di rumah dari tempat kerja berbanding lebih satu jam sebelum ini.

"Bukan setakat itu, perkhidmatan awam di pusat bandar juga baik dan memuaskan hati kami sebagai rakyat," katanya.

Peniaga, Hay Chih Hsung, 26, berkata Teluk Danga sebelum ini sebuah pantai yang indah di bandar raya Johor Bahru yang menjadi tarikan pelancong dan tempatan.