
Pembinaan jambatan ganti Tambak Johor diteruskan
Oleh Mustafa Kamal Basri
SERI KEMBANGAN 26 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi pendirian kerajaan bahawa projek pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor tidak akan ditangguhkan.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan, kerja pembinaan jambatan indah itu akan diteruskan seperti yang dirancang.
Menurutnya, tidak berlaku sebarang kelewatan dalam kerja-kerja pembinaan projek itu,'' ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertandingan Golf Ekspedisi Kutub Utara di The Mines Resort and Golf Club, di sini hari ini.
Bagaimanapun menurutnya, Kabinet setakat ini belum membincangkan hasil rundingan antara Malaysia dan Singapura berhubung perkara itu.
Najib mengulas rundingan dua hala peringkat pegawai kanan (SOM) antara kedua-dua negara bagi membincangkan pelbagai isu tertunggak termasuk isu pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor.
Rundingan peringkat SOM Kementerian Luar kedua-dua negara itu disambung semula pada 10 Mac lalu di ibu negara sebelum diteruskan di Putrajaya.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, hasil rundingan peringkat pegawai itu mencapai kata sepakat untuk mengatur satu mesyuarat teknikal bagi membincangkan tuntutan tambahan termasuk kebenaran menggunakan ruang angkasa Johor oleh jet pejuang Singapura dan konsesi pasir.
Sehubungan itu, beliau berkata, kementeriannya perlu mendapat mandat daripada Kabinet sama ada untuk menghadiri mesyuarat teknikal itu atau sebarang arahan lain.
``Kalau Kabinet putuskan untuk teruskan (perundingan) dengan mesyuarat teknikal, kita teruskan. Jika tak perlu, kita akan teruskan dengan pembinaan Jambatan Indah tanpa berunding dengan mana-mana pihak,'' kata Syed Hamid.
Ketika ditanya perkembangan perundingan antara kedua-dua negara, Najib berkata, kerajaan sentiasa meneliti perkembangan rundingan itu.
Sebelum itu, beliau menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bagi merasmikan pertandingan Golf Ekspedisi Kutub Utara.
Yang di-Pertuan Agong dan Najib turut mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang bertujuan mengumpul dana bagi ekspedisi ke Kutub Utara oleh Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir April tahun depan.
Seri Paduka turut berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada satu majlis jamuan tengah hari selepas pertandingan itu.
|