UMNO Johor adakan mesyuarat tergempar

JOHOR BAHRU 20 Mac - Badan Perhubungan UMNO Johor akan mengadakan satu mesyuarat tergempar esok khusus untuk membincangkan isu penjualan pasir dan penggunaan ruang udara oleh Singapura sebagai syarat bagi mendapatkan persetujuan membina jambatan lurus untuk menggantikan Tambak Johor.

Mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman itu dijangka akan mengambil satu pendirian tegas berhubung kedua-dua permintaan republik itu.

Kedua-dua perkara itu telah dijadikan prasyarat persetujuan oleh Singapura untuk membenarkan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor yang kini berusia 82 tahun.

Sumber-sumber memberitahu Utusan Malaysia hari ini, arahan memanggil mesyuarat itu telah dikeluarkan pagi ini meminta supaya ketua-ketua bahagian UMNO atau timbalan mereka menghadiri mesyuarat esok yang dijadualkan bermula pukul 4.30 petang.

``Pendirian UMNO Johor adalah jelas - tidak bersetuju dengan permintaan Singapura yang mahukan supaya Malaysia menjual pasir dan membenarkan penggunaan ruang udara untuk pesawat tentera republik itu,'' tegas sumber itu.

Mandat

Pada mesyuarat itu, Ghani dijangka akan memaklumkan perkara-perkara terkini berhubung perbincangan antara kedua-dua negara di peringkat Pusat terhadap rancangan pembinaan jambatan yang merentasi Selat Tebrau.

Beliau juga dikatakan akan meminta mandat ketua-ketua bahagian UMNO Johor sebelum menyiapkan satu `nota pandangan' terhadap kedua-dua perkara terbabit.

Nota terbabit kemudiannya akan diserahkan kepada Kerajaan Pusat yang mengendalikan perundingan antara Malaysia dan Singapura berhubung isu pembinaan jambatan ini.

Ghani dijangka tidak akan membuat kenyataan akhbar selepas mesyuarat tertutup itu dan pihak media juga tidak dimaklumkan mengenai mesyuarat yang akan diadakan esok.

Bagaimanapun salah seorang Ketua Bahagian UMNO yang dihubungi lewat malam ini mengesahkan mesyuarat yang akan diadakan esok.

Difahamkan Singapura mahu 200 juta meter padu pasir iaitu 50 juta meter padu pasir setahun selama 20 tahun untuk melebarkan Pulau Tekong, Tuas dan Jurong.

Dengan jumlah pasir sebanyak itu dalam masa 20 tahun ia boleh mewujudkan sebuah lagi pulau di Singapura.


© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my
| Terms of Use |