
Henti bincang terus bina
JOHOR BAHRU 17 Mac - Kerajaan diminta menghentikan perbincangan dengan Singapura bagi mendapatkan persetujuan berhubung pembinaan jambatan untuk menggantikan Tambak Johor.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abd. Samad berkata, sebaliknya Malaysia perlu membina jambatan tersebut dan meneruskan perancangan asal pembinaannya.
Tegas beliau, Malaysia juga tidak perlu tertarik dengan keuntungan hasil jualan pasir ke Singapura atau memberi ruang udara kepada republik itu demi mendapatkan persetujuan tersebut.
``Tidak guna kita bersabar dengan orang yang tidak tahu menilai erti kesabaran. Malaysia sudah cukup bersabar lebih baik hentikan sahaja rundingan dan kembali semula kepada rancangan asal.
``Jangan tertarik sangat dengan keuntungan jualan pasir atau nak bagi peluang kepada mereka (Singapura) dengan memberi ruang angkasa. Jambatan baru perlu dibina untuk kepentingan dan keutamaan Malaysia,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan ke Gerbang Selatan Bersepadu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional berkata, ada pihak yang mengatakan Tambak Johor merupakan keajaiban kelapan dunia tetapi bagi beliau sikap Singapura yang sukar bertolak-ansur itulah sebenarnya keajaiban tersebut.
``Takkanlah rundingan yang dijalankan tidak ada hasilnya. Kini masa sudah cukup dan kini kita balik semula ke rancangan asal,'' katanya lagi.
Tegas beliau, pembinaan jambatan itu amat penting bagi menampung jumlah kehadiran pelawat yang semakin meningkat pada setiap tahun.
Beliau berkata, jambatan tersebut menjadi penggerak dalam sektor ekonomi negara khususnya bagi bidang pelancongan yang semakin pesat membangun di negeri ini.
|