Rakyat Singapura sokong percepat bina jambatan ganti Tambak JohorOleh KAMIL MASLIH JOHOR BAHRU 30 Jan. - Rakyat Singapura menyokong langkah kerajaan Malaysia mempercepatkan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor kerana ia dapat mengatasi kesesakan di laluan itu. Bagi mereka, pembinaan jambatan bengkok itu yang akan menghubung terus ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dapat memudahkan urusan keluar masuk rakyat kedua-dua negara. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kebanyakan warga Singapura yang ditemui menyatakan sokongan terhadap usaha pembinaan jambatan yang dijangka siap menjelang 2009. Menurut seorang pesara, Salihudin Mohd., 70, pembinaan jambatan baru tersebut dapat memberi kebaikan kepada Singapura dan Malaysia kerana ia melancarkan lagi aliran pengangkutan sedia ada. ``Disebabkan ia untuk tujuan yang baik, saya menyokong pembinaan jambatan baru ini memandangkan keadaan Tambak Johor yang sentiasa sesak,'' katanya. Menurutnya, projek tersebut tidak sepatutnya ditangguhkan lagi kerana pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat akan memudah dan mempercepatkan lagi urusan keluar masuk warga kedua-dua negara. Seorang pekerja swasta, Hairum Saian, 45, pula berkata, kedudukan jambatan baru yang berdekatan dengan Tambak Johor akan memudahkan lagi urusan untuk warga Singapura memasuki Johor Bahru. ``Saya yakin Gerbang Perdana yang bakal siap dibina itu dapat mengatasi masalah kesesakan untuk keluar masuk Johor Bahru. ``Untuk itu, projek tersebut perlu diteruskan demi kebaikan kedua-dua negara,'' katanya. Dengan adanya kemudahan tersebut, beliau yakin hubungan kerjasama antara Malaysia dan Singapura akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Seorang lagi pekerja swasta, Osman Abdul Karim, 43, berkata, beliau sangat bersetuju dengan pembinaan jambatan baru yang menghubungkan terus ke Gerbang Perdana kerana ia secara tidak langsung mengatasi kesesakan lalu lintas di Johor Bahru. ``Apabila menggunakan Tambak Johor, saya sering terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang kadang-kadang sehingga dua jam. Keadaan ini tidak sepatutnya terus berlaku, dan saya merasakan pembinaan sebuah jambatan baru merupakan penyelesaian yang tepat,'' katanya. Sementara itu pelajar, Lawrence Tan, 19, juga berpendapat pembinaan jambatan baru akan melancarkan lagi urusan keluar-masuk memandangkan Tambak Johor tidak mampu lagi menampung kemasukan dalam jumlah yang terlalu besar. ``Memang ada Linkedua, namun kedudukannya yang tidak begitu strategik menyebabkan orang ramai tidak berminat,'' katanya. Katanya lagi, dengan adanya jambatan baru, kesesakan yang berlaku pada waktu perayaan semestinya dapat dielakkan pada masa hadapan. |
|
|
© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur. E-mail: online@utusan.com.my |