Singapura hantar nota minta penjelasan jambatan

SINGAPURA 30 Jan. - Singapura hari ini memberitahu bahawa ia sudah menghantar nota pihak ketiga ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan penjelasan berhubung laporan tentang rancangan Malaysia meneruskan pembinaan jambatan merentasi Selat Johor.

Dalam kenyataan satu perenggan, jurucakap Kementerian Luar berkata: ``Singapura memilih untuk tidak memberikan sebarang reaksi kepada laporan media. Singapura akan menghantar Nota Pihak Ketiga ke Kuala Lumpur meminta penjelasan Malaysia berhubung laporan media itu sebelum memutuskan maklum balas kita''.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran beberapa soalan daripada pihak media berhubung laporan Bernama semalam yang bertajuk Malaysia teruskan projek pembinaan jambatan untuk elak kenaikan kos, kata PM.

Laporan itu memetik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai berkata bahawa Malaysia akan meneruskan projek pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor untuk mengelak kos tinggi pembinaannya.

Abdullah dilaporkan berkata; ``Kos membina jambatan itu sudah meningkat dan ini menyebabkan kita sedang membuat persediaan yang perlu untuk melaksanakan pembinaan jambatan itu,''.

Kontraktor projek tersebut, Gerbang Perdana Sdn. Bhd. mengesahkan bahawa ia sudah menerima surat pada 18 Januari daripada Jabatan Kerja Raya untuk memulakan kajian dasar laut sebelum meneruskan kerja-kerja fizikal bagi membina jambatan itu.

Jambatan RM600 juta itu akan mengambil masa kira-kira 36 bulan untuk disiapkan.

Singapura sebelum ini sudah menyatakan keengganannya kepada rancangan untuk menggantikan jambatan berusia 81 tahun yang menghubungkan Malaysia dengan negara pulau itu.

Menteri Luarnya, George Yeo memberitahu Parlimen pada bulan Oktober lalu bahawa pandangan tentang jambatan itu tetap tidak berubah, dan mengatakan bahawa Singapura boleh bersetuju dengan rancangan Malaysia untuk menggantikan jambatan itu dengan yang baru, hanya sekiranya ada keuntungan yang seimbang kepada kedua-dua pihak.

Singapura juga memberi amaran tentang implikasi undang-undang yang serius sekiranya Malaysia meneruskan rancangannya untuk menggantikan jambatan di sebelah bahagiannya, dengan memberi alasan berhubung peraturan antarabangsa bahawa jambatan itu tidak boleh diruntuhkan secara sah tanpa persetujuan Singapura.

Rancangan pembinaan jambatan itu bagaimanapun sebenarnya tidak membabitkan kerja-kerja memusnahkan Tambak Johor. - Bernama


© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my