28 Ogos 2005


 muka hadapan

Jambatan baru tetap dibina

Oleh Suffian Abu Bakar


MUAR 27 Ogos - Projek pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dan Singapura tetap akan diteruskan walaupun republik itu sehingga kini belum memberikan sebarang kata putus mengenainya.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, pembinaan jambatan tersebut perlu disegerakan kerana ia akan memberi pelbagai kemudahan dan faedah kepada rakyat kedua-dua negara.

Menurutnya, walaupun Singapura masih belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu disebabkan beberapa faktor termasuk ekonomi dan keutamaan, Malaysia tetap memikirkan keperluan jambatan baru tersebut dibina.

``Kerajaan masih mengadakan perbincangan dengan Singapura mengenai pembinaan jambatan itu dan kita juga telah memutuskan untuk meneruskannya walaupun Singapura tidak berminat.

``Jika Singapura masih enggan, kita akan tetap membina jambatan itu kerana ia penting dan perlu disegerakan bagi mengelak kos projek meningkat jika ia masih tertangguh,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kemerdekaan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) negeri Johor 2005 di Kampung Kenangan Tun Dr. Ismail (1) Bakri, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Naning, Abdullah Ali; Pegawai Daerah Muar, Datuk Mohd. Naim Nasir dan Pengerusi MAYC Johor, Othman Taib.

Pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor itu tertangguh ekoran rundingan antara kerajaan Malaysia dan Singapura berhubung projek jambatan itu yang masih belum selesai.

Pada April lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu ketika meninjau perkembangan projek Gerbang Perdana Bersepadu memberitahu, pihaknya akan mengeluarkan pelan baru bagi membina jambatan untuk menggantikan Tambak Johor.

Ketika ini, projek pembinaan jambatan itu telah dihentikan ekoran arahan kerajaan agar ia diberhentikan sementara walaupun kerja-kerja asas pembinaannya telah dilakukan dua tahun lalu.

Syed Hamid memberitahu, Malaysia masih berharap supaya kerajaan republik itu bersetuju membina jambatan tersebut yang dilihat mampu memberi pulangan faedah kepada kedua-dua negara.

``Sebagai negara jiran, yang bersempadan di Tambak Johor, Singapura perlu membantu Malaysia untuk pembinaan jambatan itu kerana mereka juga akan memperoleh faedah sekiranya ia diteruskan.

``Walaupun telah banyak kali ia dibincangkan, kita tidak mahu keengganan mereka mengakibatkan kita terpaksa menanggung kos pembinaan yang semakin meningkat dan untuk itu, kita akan teruskan pembinaannya,'' jelas beliau.


© UTUSAN MELAYU (M) BHD., 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my