cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.


Komentar

Visi Johor saingi Singapura menjelang 2010

Wawancara Menteri Besar Johor (MBJ) Datuk Abdul Ghani Othman dengan The New Straits Times (NST), baru-baru ini.

NST: Kini anda dalam penggal ketiga selaku Menteri Besar. Apakah wawasan anda bagi Johor menjelang 2010?

MBJ: Pada tahun itu, saya yakin Johor akan menjadi negeri yang banyak berubah dari segi mutu kehidupan rakyatnya, dari segi kebersihan dan sekitaran. Saya ingin perkara ini menjadi nyata.

NST: Kebanyakan projek mega di negara ini akan berlaku di Johor. Berdasarkan anggaran, tidak kurang daripada RM20 bilion ($8 bilion) akan dilaburkan dalam negeri ini dalam beberapa tahun mendatang. Pastinya ini akan menyebabkan perubahan yang besar bagi Johor.

MBJ: Ya, sememangnya. Pelaburan besar sedang berlaku di Johor. Kita bukan sahaja ada projek kerajaan federal seperti kompleks baru Kastam, Imigresen dan Kuarantin, dan jambatan yang akan menggantikan Koswe, tetapi juga inisiatif sektor swasta seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas, Bandar Lapangan Terbang di Senai, loji kuasa Tanjung Bin, pulau bekalan perkapalan dan kompleks petrokimia serta ekspreswe Timur-Barat bagi membangunkan pantai timur Johor.

NST: Apakah Johor kini sudah bersedia untuk menyaingi Singapura bagi mendapatkan perniagaan dan pelaburan?

MBJ: Sejauh ini Johor merupakan pedalaman bagi lebihan perniagaan dan pelaburan Singapura. Oleh kerana itu kita menikmati hubungan yang rapat. Hingga hari ini Singapura adalah pelabur terbesar di Johor dan saya gembira dengan perkara ini.

Tetapi kita juga sedang membangunkan prasarana dan kemudahan kita untuk memaksimumkan potensi ekonomi kita. Kerana kedudukan kita yang strategik, Johor hari ini mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan Singapura.

Dalam beberapa perkara, kita akan terus saling melengkapi Singapura. Tetapi kita boleh dan akan bersaing dengan Singapura bagi perniagaan juga. Hakikatnya kita mampu bersaing dari segi kos.

Itulah sebabnya lebih 30 pusat pemerolehan antarabangsa dan pusat agihan antarabangsa telah memindahkan operasi mereka ke Johor sejak 2001. Dan lebih banyak akan mengikut jejak mereka.

Saya berpendapat sedang kita menjadi lebih mudah dituju, lebih cepat kita membangunkan Johor, maka lebih besar lebihan yang kita dapat dari Singapura.

NST: Apakah jambatan yang disarankan bagi menggantikan Koswe akan membantu?

MBJ: Tentu sahaja. Kita mahu Koswe diranapkan. Ia adalah warisan terakhir berkaitan penjajahan di Johor. Sudah tiba masanya untuk kita membuka Selat Johor dan membolehkan pergerakan bebas bagi bot dan kapal. Saya melihat idea jambatan baru ini sebagai satu cara untuk menghapuskan sisa warisan penjajahan yang berada di depan mata kita.


Copyright © 2004 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne