
Pembatalan bina jambatan indah dicapai sebulat suara Jemaah Menteri:
PM
KOTA SAMARAHAN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar)
semalam menegaskan, kerajaan mengambil keputusan tepat apabila membatalkan
projek jambatan indah bagi menggantikan Tambak Johor.
Perdana Menteri juga
menjelaskan, keputusan membatalkan projek itu dicapai Jemaah Menteri secara
sebulat suara selepas membincangkannya.
“Bagi kerajaan, keputusan itu
dicapai sebulat suara oleh Kabinet yang berpeluang membincangkannya. Itulah
keputusan kami. Kami yakin membuat keputusan tepat,” katanya.
Beliau
diminta mengulas kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
berhubung keputusan kerajaan membatalkan pembinaan jambatan itu minggu lalu.
Sejak pengumuman pembatalan itu, Dr Mahathir yang mencetuskan idea
pembinaan jambatan berkenaan pada 1996 dilaporkan kurang senang dengan keputusan
kerajaan.
Beliau mendakwa kerajaan silap membatalkan projek jambatan
berkenaan.
Beberapa akhbar semalam turut melaporkan, Dr Mahathir meminta
media supaya tidak menyekat komennya dan bertegas untuk terus menyuarakan
pendapatnya.
Akhbar The Sun dalam lidah pengarangnya pula semalam,
membidas Dr Mahathir yang mempertikaikan keputusan Kabinet tidak meneruskan
pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor berkenaan.
The Sun
menyifatkan tindakan tidak meneruskan pembinaan jambatan itu adalah satu-satunya
keputusan yang ada pada kerajaan ketika ini.
“Kami terkejut dengan
desakan Tun Dr Mahathir bahawa Malaysia sepatutnya meneruskan (pembinaan
jambatan). Sebenarnya Malaysia dalam kedudukan tidak selesa dan jelas terjejas
dalam soal rundingan dengan Singapura berhubung soal jambatan disebabkan
keputusan yang dibuat ketika pentadbiran Dr Mahathir,” katanya.
Kabinet
dalam mesyuaratnya minggu lalu membatalkan pembinaan jambatan itu selepas
mengambil kira sentimen rakyat berikutan syarat Singapura mahukan Malaysia
memberinya satu bilion meter padu pasir dalam tempoh 20 tahun dan hak
menggunakan ruang udara negara untuk pesawat tentera sebagai persetujuan
meruntuhkan tambak berkenaan.
Selain itu, implikasi undang-undang turut
menjadi antara sebab pembatalan projek berkenaan.
Perdana Menteri
bagaimanapun tidak mahu mengulas kritikan terhadap pembatalan projek itu kerana
semua keputusan sudah dibuat.
“Orang boleh terus mempertikaikannya,”
katanya sambil menambah Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar sudah
mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan perkara itu, kelmarin.
“Saya
membaca kenyataan itu melalui akhbar pagi ini (semalam),” katanya yang enggan
mengulas lanjut.
Mengenai lawatan Syed Hamid ke Myanmar, Abdullah berkata
menteri luar itu tidak dapat menemui tokoh pro demokrasi Aung San Suu
Kyi.
“Perbincangan dengan Suu Kyi tidak dapat diadakan, bagaimanapun
beliau menemui Perdana Menteri (Jeneral Soe Win) dan pemimpin lain untuk
berbincang dan menyalurkan pandangan mengenai Asean,”
katanya.