Keputusan ikut keadaan semasa

17 Apr 2006

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengkritik kerajaan berhubung keputusan membatalkan cadangan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

“Kita tidak setuju (dengan Dr Mahathir) kerana kita tidak akan menjual negara. Apa yang kerajaan lakukan ialah yang terbaik dalam keadaan semasa,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Ditanya mengenai hujah Dr Mahathir bahawa projek itu harus diteruskan, Syed Hamid berkata, setiap pentadbiran mempunyai caranya yang tersendiri dalam menangani sesuatu isu.

“Pada dasarnya, adalah tidak wajar untuk kita berdebat dengan bekas Perdana Menteri, seorang tokoh yang sangat kita hormati,” katanya.

Syed Hamid juga tidak bersetuju dengan pendapat Dr Mahathir yang berkata adalah menjadi hak kedaulatan negara untuk membina jambatan itu dalam kawasan Malaysia.

“Kita sudah memperhalusi dan meneliti perkara ini. Kita tidak boleh bertindak secara sehala. Sama juga seperti ketika Malaysia menghantar bantahan atas tindakan Singapura menambak laut untuk timbang tara antarabangsa.

“Jika kita meneruskannya dan merujuk Singapura ke mahkamah antarabangsa berhubung perkara ini, ia tidak akan selesai untuk bertahun-tahun lagi,” katanya.

Mengenai kenyataan Dr Mahathir berhubung apa yang disifatkannya sebagai ‘menjual negara’, Syed Hamid berkata, ia tidak akan berlaku kerana pentadbiran sekarang akan melakukan apa saja dalam bidang kuasa yang ada untuk memastikan negara tidak tergadai sekali pun jika keputusan itu mungkin tidak dipersetujui sesetengah pihak.


©The New Straits Times Press (M) Berhad