‘Tiada keputusan baru’

Oleh Wan Hazmir Bakar dan Rudy Fazrunisyam Samarudin

27 Mac 2006

KUALA LUMPUR: Kabinet belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang dipercayai sudah dipersetujui kumpulan perunding Malaysia dan Singapura baru-baru ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, pada sidang media selepas Pertandingan Golf Ekspedisi Kutub Utara di The Mines Resort and Golf Club di sini, semalam, Timbalan Perdana Menteri, berkata kerja pembinaan Jambatan Indah yang sebelum ini dikenali sebagai jambatan separuh atau bengkok diteruskan seperti yang dijadualkan.

Beliau ditanya mengenai keputusan oleh Kabinet berhubung laporan mesyuarat peringkat pegawai pusingan keenam di Kuala Lumpur dua minggu lalu yang dikemukakan Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, pada mesyuarat Kabinet, Rabu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, apabila ditanya soalan sama kelmarin, sekadar berkata: “Ia soal rundingan”.

Sebelum ini, Syed Hamid menyatakan hasil rundingan itu adalah positif apabila kedua-dua pihak mencapai kesepakatan dalam beberapa perkara utama dan akan mendapatkan mandat daripada kerajaan untuk meneruskan rundingan pada peringkat teknikal bagi memperincikan persetujuan.

Republik itu dikatakan meminta Malaysia membenarkan penjualan pasir dan penggunaan ruang udara Johor oleh pesawat Tentera Udara Singapura (SAF) sebagai syarat untuk mempersetujui cadangan pembinaan jambatan baru itu.

Pelbagai pihak, termasuk Ahli Parlimen dan pemaju projek Gerbang Perdana Selatan sendiri menggesa kerajaan supaya bertegas dan tidak menyerahkan ruang udara dan pasir negara, iaitu simbolik kedaulatan, kepada republik berkenaan semata-mata untuk membina jambatan baru.

Berikutan itu, Syed Hamid menegaskan Wisma Putra mendapat mandat Kabinet untuk merundingkan perkara berkaitan dan tidak akan sekali-kali menggadaikan kepentingan negara.

Berita Harian difahamkan Malaysia turut meminta penggunaan ruang udara Singapura sebagai tuntutan balas dan bukti kedua-dua negara tidak saling mencurigai seperti yang dihujahkan republik itu.

Sementara itu, Pemuda Umno Johor mendesak kerajaan segera meneruskan pembinaan Jambatan Indah bagi mengelakkan negara terus mengalami kerugian.

Ketua Pemuda Johor, Razali Ibrahim, berkata Pemuda negeri sudah berbincang mengenai hubungan Malaysia-Singapura dengan mengambil kira semua pandangan dan hasrat pemimpin dan akar umbi Pemuda Umno terutama dari selatan Johor.

“Pemuda negeri mendesak Kerajaan Persekutuan meneruskan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

“Sama ada rupa jambatan itu lurus atau bengkok, keputusan pembinaannya harus dibuat segera tanpa berlengah-lengah kerana yang akhirnya akan menanggung kerugian adalah negara,” katanya yang mendakwa ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat Pemuda Umno negeri di Pagoh, dekat sini kelmarin.

Razali berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan baja dan benih tanaman kepada lebih 200 petani dan peladang di Sungai Sudah, Sungai Balang, di sini, semalam.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Muar itu berkata, pendirian Pemuda Umno negeri bukanlah satu pendirian yang terlalu emosi dengan mengenepikan sebab kelewatan yang tidak diketahui secara terperinci.


©The New Straits Times Press (M) Berhad