Projek Gerbang Selatan operasi September 2006

Oleh Johan Afandi







JOHOR BAHRU: Projek Gerbang Selatan Bersepadu (GSB) yang membabitkan pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) baru akan mula beroperasi sepenuhnya, September tahun depan.

Walaupun masih tiada sebarang keputusan dibuat berhubung pembinaan reka bentuk jambatan menggantikan Tambak Johor, 17 jabatan kerajaan akan mula berpindah ke kompleks KIK baru itu secara berperingkat mulai Mac 2006.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata mula November ini, laluan persimpangan yang menghubungkan Jalan Lingkaran Dalam daripada Skudai ke Stulang akan boleh dilalui semula.

"Setakat ini projek berkenaan sudah 71 peratus siap mengikut jadual dan saya berpuas hati dengan perkembangan itu kerana apabila ia siap sepenuhnya, kompleks berkenaan akan memberikan wajah baru kepada bandar raya Johor Bahru," katanya di sini, semalam.

Abdul Ghani berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek GSB, Bukit Chagar yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Razali Mahusin dan Exco kerajaan negeri.

Projek GSB membabitkan kos RM2.38 bilion itu meliputi kawasan seluas 107.4 hektar dengan separuh daripada keluasan itu diguna untuk pembinaan Kompleks KIK, manakala bakinya bagi pembinaan kemudahan sokongan.

Manfaat daripada projek GSB ini ialah dari segi kelancaran laluan trafik di sekitar pusat bandar Johor Bahru, meningkatkan sistem rangkaian jalan raya menghubungkan Kompleks KIK ke Lebuhraya Utara Selatan dan jalan di pusat bandar.

Mengulas mengenai JB Sentral, Abdul Ghani berkata projek itu kini sudah 40 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2007.

"JB Sentral akan menjadi Stesen Kereta Api Johor Bahru yang baru menggantikan stesen lama dan terpulang kepada perancangan KTM Bhd untuk membangunkan stesen lama berkenaan," katanya.

Ditanya mengenai pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, Abdul Ghani berkata, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan terpulang kepada Kerajaan Pusat untuk mengumumkannya.


ŠThe New Straits Times Press (M) Berhad