Projek jambatan baru satu rahmat kepada Johor: MB




JOHOR BAHRU: Langkah Kerajaan Pusat meneruskan pembinaan jambatan baru RM640 juta menghubungkan Malaysia dengan Singapura bagi menggantikan Tambak Johor adalah satu rahmat kepada Johor.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata mungkin projek itu hanya separuh jambatan di perairan negara, tetapi ia akan membuka pelbagai peluang dalam perdagangan, pelaburan dan perkhidmatan di selatan Johor.

"Singapura turut menikmati faedah kerana pembinaan jambatan itu akan memudahkan pergerakan tanpa menjejaskan orang ramai dan barangan yang melintasi sempadan di Selat Johor," katanya ketika mengulas laporan muka depan New Sunday Times, semalam.

Abdul Ghani berkata, pihaknya sentiasa berpendapat langkah pembinaan jambatan baru itu perlu diteruskan tanpa berlengah lagi kerana ia penting dan menjadi hasrat bagi majoriti penduduk di negeri ini.

Beliau berkata, pemecahan Tambak Johor bukan saja akan memperbaiki kualiti air tetapi juga akan mengubah wajah Selat Johor sebagai laluan untuk kapal pesiar.

"Pembinaan jambatan ini juga akan melengkapi usaha untuk menukar wajah persisiran pantai Johor Bahru menjadi hub pelancongan yang bertaraf dunia.



Abdul Ghani berkata, jambatan berkenaan juga sebahagian daripada usaha bersepadu kepada pembangunan semula pusat bandar dan sewajarnya pembinaannya dilakukan secepat mungkin.

"Semuanya mempunyai kaitan dengan jambatan dan kami tidak dapat lagi menunggu Singapura untuk bertindak. Kita perlu bertindak sekarang atau kesannya menjadi lebih buruk," katanya.

Malaysia dijangka memutuskan untuk meneruskan pembinaan jambatan itu pada mesyuarat dua hari membabitkan pegawai kanan kedua-dua negara di Putrajaya, esok.

Kerja untuk projek pembinaan jambatan itu sudah terlewat kira-kira dua tahun berikutan kerajaan Singapura enggan bersama-sama Malaysia untuk mengendalikan projek berkenaan.

Mengikut perancangan terakhir, Malaysia akan membina separuh jambatan di bahagian sempadannya di Selat Johor dengan kemudahan untuk Singapura menyambungnya pada masa depan.

Pembinaan jambatan dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) yang bersepadu itu membabitkan kos bernilai RM1.5 bilion dimajukan konsortium Gerbang Perdana dengan dana Kerajaan Pusat.

Kompleks KIK kini lebih 70 peratus siap dan dijangka dibuka akhir tahun ini. Bagaimanapun, tiada kemajuan mengenai pembinaan jambatan sehingga ke hari ini.






ŠThe New Straits Times Press (M) Berhad