Jambatan baru ganti Tambak Johor diteruskan

Oleh Amad Bahri Mardi

KOTA TINGGI: Malaysia akan meneruskan pembinaan jambatan baru bernilai RM640 juta menggantikan Tambak Johor walaupun tidak dipersetujui Singapura, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar (gambar).

Katanya, pembinaan jambatan baru itu adalah antara isu tertunggak yang akan dibincangkan pada mesyuarat peringkat pegawai kanan Malaysia dan Singapura di Putrajaya, esok.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Fuzi Abdul Razak dan Setiausaha Tetap Luar Singapura, Peter Ho, difahamkan akan mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat berkenaan.

"Saya dan pegawai di kementerian sudah pun bermesyuarat mengenai beberapa perkara yang akan dibincangkan termasuk isu jambatan dengan pegawai daripada Singapura.

"Jika ada perkembangan terbaru dan wujud kata sepakat untuk menyelesaikan isu itu, barulah kita serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Kanan Singapura, Goh Chok Tong, untuk bertemu dan berbincang semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan New Sunday Times semalam, Malaysia sudah memutuskan meneruskan rancangannya membina jambatan bagi menggantikan separuh daripada Tambak Johor di wilayahnya yang kini berusia 81 tahun.

Syed Hamid berharap formula dan semangat kerjasama yang terjalin ketika menyelesaikan isu tambak laut sekali lagi digunakan oleh kedua-dua negara bagi mencari jalan penyelesaian bagi jambatan baru.

Mengulas mengenai perkembangan kerja pembinaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Tanjung Puteri, Syed Hamid berkata, pembinaannya hampir siap dan ia tanda bukti Malaysia serius supaya projek itu berjaya.

Difahamkan, Kementerian Kerjaraya melalui Gerbang Perdana Sdn Bhd akan diarahkan meneruskan pembinaan jambatan baru itu dan kemudahan berkaitan.

Pada 2003, Malaysia mengumumkan rancangan membina jambatan yang membolehkan kapal belayar di bawahnya bagi menggantikan tambak itu. Rancangan itu bagaimanapun dibantah Singapura atas alasan kos dan kesan kepada alam sekitar.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Singapura dalam kenyataan di republik itu yang dipetik Bernama, petang semalam menjelaskan perbincangan mengenai pembinaan jambatan baru masih berterusan.






ŠThe New Straits Times Press (M) Berhad